Kerjasama dengan 10 fakulti undang-undang tambah baik bantuan guaman

Kerajaan sedang dalam fasa melaksanakan satu kajian bagi menambah baik perkhidmatan bantuan guaman percuma kepada rakyat miskin dan golongan tidak berkemampuan dengan mengadakan kerjasama dengan fakulti undang-undang di 10 universiti supaya golongan terkesan akan mendapat akses kepada keadilan yang lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, setakat ini program libat urus hala tuju perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah di Malaysia telah pun diadakan pada 11 dan 12 April lalu.

Menurutnya, seramai 80 peserta mewakili kementerian, jabatan Persekutuan, badan-badan peguam, pertubuhan masyarakat madani, NGO, dan ahli-ahli akademik dalam bidang undang-undang bersetuju untuk menyokong hasrat murni kerajaan dalam memastikan golongan miskin dan marhaen mendapat lebih banyak akses kepada keadilan dalam negara.

“Seterusnya bagi memastikan perkhidmatan bantuan guaman di negara ini sentiasa berada pada kedudukan yang terbaik, kerajaan akan melaksanakan kajian yang menyeluruh dengan bekerjasama para akademik, yang melibatkan 10 fakulti undang-undang swasta dan awam di Malaysia.

“Antara universiti yang terlibat termasuklah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sains Islam Malaysia dan Malaysia Multimedia University.

Akta Pembelaan Awam untuk menggantikan YBGK?

“Kajian ini akan meliputi kajian perbandingan pelaksanaan luar negara, berkaitan penggubalan akta pembelaan awam untuk menerajui perkhidmatan bantuan guaman bagi kes-kes jenayah di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya adakah Kerajaan bercadang untuk menggubal Akta Pembelaan Awam bagi menyediakan perkhidmatan bantuan guaman membabitkan kes jenayah di negara ini agar rakyat yang kurang berkemampuan turut mendapat akses kepada keadilan dan pembelaan sewajarnya.

Akta Pembelaan Awam digunakan di banyak negara lain untuk memberikan akses guaman kepada mereka yang tidak mampu. Takiyuddin turut membangkitkan isu para peguam tidak mendapat bayaran walaupun telah menyediakan khidmat mereka menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

YBGK ialah badan yang memberikan khidmat guaman percuma dengan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Azalina menjelaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan dari YBGK.

BACA JUGA: Shahidan kecoh, tak puas hati Bagan sebut “Kerajaan Muhyiddin”