Kuasa beli rakyat meningkat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan bahawa kuasa beli rakyat ketika ini tidak menurun, sebaliknya menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh enam bulan ini.

Beliau berkata, kuasa beli rakyat hakikatnya telah meningkat apabila laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun pertama, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus.

Kadar inflasi bagi makanan bermasak juga katanya telah menurun daripada 9.6 peratus kepada 9.3 peratus, sekaligus menepis persepsi bahawa barangan asas semakin mahal dan kuasa membeli rakyat semakin rendah.

“Saya ingin menyatakan buat kesekian kalinya bahawa kuasa beli sebenarnya telah meningkat dalam tempoh 6 bulan ini.

“Ini dibuktikan dengan KDNK bagi suku tahun pertama yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus didorong oleh permintaan domestik yang kukuh,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Tiada aduan kenaikan harga barangan asas

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta respon kementerian mengenai realiti situasi semasa yang menyaksikan berlakunya penurunan kuasa untuk membeli dalam kalangan pengguna ketika di musim bulan puasa dan perayaan Aidilfitri baru-baru ini di mana harga barangan asas telah naik dengan ketara.

Menjawab soalan itu, Salahuddin sekali lagi menegaskan bahawa statistik diperoleh kementeriannya mendapati tiada satu pun aduan berkenaan kenaikan harga barangan asas terutama sepanjang musim perayaan.

“Skim harga maksima musim perayaan telah kita buat sebaik sahaja kita masuk dalam kerajaan. Kita buat skim harga semasa Krismas, Tahun Baru Cina dan perayaan Aidilfitri.

“Statistik menunjukkan “zero complain”. Tak ada aduan langsung tentang kenaikan harga barang dan ketidakberadaan barang-barang keperluan. Yang ada cuma isu-isu kecil seperti tiada tanda harga,” ujarnya.

Selain itu katanya, kerajaan berjaya melakukan kawalan terhadap barang subsidi melalui tiga operasi sepanjang enam bulan ini, menyumbang kepada harga barang yang tidak naik.

BACA JUGA: Kerjasama dengan 10 fakulti undang-undang tambah baik bantuan guaman