Menteri seru lebih ramai lagi usahawan tani kongsi ilmu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap lebih ramai lagi usahawan tani dapat berkongsikan ilmu pertanian melalui medium media sosial yang pantas berkembang ketika ini.

Beliau dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada TikTokers, Tinase Jay yang mengajak usahawan tani baharu untuk menggunakan aplikasi Sistem Maklumat Racun Perosak (SISMARP) oleh Jabatan Pertanian.

“Saya ada menerima satu video TikTok yang menunjukkan seorang usahawan tani yang bernama Tinase Jay sedang berkongsikan tips penggunaan racun serangga terhadap tanaman.

“Apa yang dikongsikan amat menarik perhatian saya apabila beliau menekankan kepada usahawan tani baru untuk menggunakan aplikasi yang telah dibangunkan oleh Jabatan Pertanian yang diberi nama SISMARP,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, SISMARP telah diwujudkan sejak tahun 2001 bertujuan memberi maklumat mengenai cadangan penggunaan racun perosak bagi sektor pertanian.

“Petani, pengusaha ladang serta agen pengembangan pertanian boleh membuat rujukan melalui SISMARP untuk mendapatkan maklumat racun perosak berdaftar yang disyorkan untuk tanaman atau kawalan perosak yang tertentu,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Tinase menerusi akaun TikTok menyeru usahawan tani memanfaatkan SISMARP dengan membuat carian mengenai penggunaan racun yang bersesuaian dengan tanaman.

“Bila pakai racun yang sama, serangga pun akan kebal. Dia akan ‘senyum’ balik pada kita. Dia tak takut pun.

“Akhirnya duit kita yang habis,” katanya bersama hasil tuaian timun di kebun.