OPR naik sekali dah gegak gempita, era Mahiaddin naik empat kali tak jadi isu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pembangkang apabila membangkitkan suhu politik dengan soal kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada tiga peratus baru-baru ini.

Menteri Kewangan itu berkata, kenaikan OPR dijadikan isu sehingga “gegak gempita” walaupun dalam tempoh enam bulan, ini baru kali pertama kadar faedah tersebut dinaikkan.

Berbanding ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, kata Anwar, sebanyak empat kali OPR dinaikkan dalam tempoh setahun, namun tidak pula dijadikan isu.

“Ada kritikan tentang OPR cumanya, dalam tempoh enam bulan, baru sekali naik.

“Tapi dalam tahun 2022 semasa Mahiaddin mentadbir, empat kali naik setahun. Tak jadi pula isu. Tapi kita naik sekali, dia jadi gegak gempita bunyinya.

“Tapi yang pentingnya, defisit kurang, inflasi turun, kadar pengangguran rendah dan pelaburan bertambah.

“Alhamdulillah, inilah kejayaan Kerajaan Perpaduan,” katanya di Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkenaan kestabilan politik yang akhirnya dinikmati buat pertama kali sejak 2020.

 

BACA JUGA Bank Negara: Sembilan salah faham tentang OPR