Pastikan ‘tukang sakau’ tidak berpeluang dalam pembangunan semula Kg Bharu

Forum 2023 Pembangunan Semula Kampung Bharu hari ini membuat rumusan agar kerajaan memastikan tukang sakau tidak diberikan peluang untuk mengambil kesempatan dalam pembangunan semula Kampung Bharu yang dicadangkan oleh mereka.

Bagi peserta forum yang disertai pemilik dan pihak yang terkait dengan Kampung Bharu itu, keikhlasan untuk membantu pemilik dan orang Melayu di situ sangat diperlukan.

Mereka juga mencadangkan agar kerajaan menjadi tunggak utama pembangunan kampung yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu.

Cadangan itu adalah perkara utama yang dihasilkan oleh forum berkenaan yang mengumpulkan kira-kira 300 pemilik dan pihak yang berkaitan dengan kampung tradisi itu yang bersidang dalam lima sessi selama satu hari suntuk bermula dari pagi tadi.

Perhimpunan hari ini berlangsung selepas tiga tahun mereka berkumpul ketika tawaran dibuat agar semua tanah dijual kepada kerajaan pada 2019 lalu.

Menurut rumusan yang dibacakan oleh Datuk Lokman Omar, CEO Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) itu, kerajaan boleh menjadikan tanah di Kampung Bharu sebagai ‘land bank’ untuk mereka.

Datuk Lokman, CEO PKB yang membacakan resolusi forum.

Syarikat dan badan berkaitan kerajaan juga disarankan agar menjadikan tanah di situ sebagai tapak kuarters kakitangan mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.

Forum itu juga mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan RM750 juta untuk membina uitiliti dan infrastruktor dengan menggunakan Akta Pengambilan tanah 1963.

Mereka juga membuat rumusan, ketika pembangunan semula dibuat, Kepentingan Melayu hendaklah dijaga.

Begitu juga nilai sejarah dan warisan kampung itu dijaga dalam pembangunan ini.

“Kami juga mencadangkan agar pembangunan ini menaikkan taraf Kampung Bharu sebagai syurga makanan dengan menyediakan kemudahan asas yang perlu termasuk parking, tandas dan ruang pejalan kaki.

“Kita juga mencadangkan semua jenis makanan Malaysia di bawa ke Kampung Bharu dengan penambaikan yang perlu,” kata Lokman ketika membacakan rumusan itu.

Forum itu juga meminta agar kelonggaran diberikan agar pemilikan tanah di sini dibuka kepada bukan Melayu sekiranya perlu.

Cadangan ini akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Datuk Seri Rashidah Jaafar, Ketua Pengarah Wilayah Persekutuan.

BACA JUGA Selepas 3 tahun, pemilik tanah Kg Bharu berkumpul lagi bincang masa depan

Â