Pendaki OKU Malaysia mungkin terjatuh ke Kem Dua, Gunung Everest

Terdapat kemungkinan bahawa pendaki rakyat Malaysia, Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest pada Sabtu lalu terjatuh dari Kem Empat ke Kem Dua berdasarkan penemuan terbaru pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

Pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin, 57, berkata, mustahil untuk Muhammad Hawari berjalan kaki turun ke Kem Dua berikutan perjalanan dari Kem Empat ke lokasi berkenaan mengambil masa kira-kira lima atau enam jam bagi pendaki profesional.

Jelas beliau, jarak ketinggian Kem Empat dan Kem Dua itu juga melebihi 1,000 meter (m) yang mana agak sukar untuk turun ditambah lagi dengan keadaan gunung yang sangat curam.

“Kalau berjalan pun, dia tidak akan nampak sebab dia mendaki (turun). Ia memerlukan tali dan peralatan semua.

“Ia amat sukar. Turun sebenarnya lagi merbahaya daripada mendaki,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Noor memberitahu, operasi mencari masih diteruskan di sekitar lokasi penemuan jaket berkenaan meskipun kemungkinan peluang untuk Muhammad Hawari hidup itu tipis pada ketika ini.

Laporan sebelum ini menyebut Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari yang berjaya menawan puncak Everest (8,848 meter dari paras laut) pada Khamis (18 Mei) dilaporkan hilang pada Sabtu.

Perkara itu disahkan Ketua Misi Ekspedisi, Azim Afif Ishak ketika dihubungi Bernama TV dan operasi pencarian masih dijalankan.

Jumaat lalu, media turut melaporkan Lt Kol APM Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia selepas berhadapan masalah kesihatan ketika berada di ketinggian 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan Everest yang hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Pada 17 Mei, Hawari bersama Awang Askandar berada di Kem 4 untuk Summit Push.

Lokasi terakhir Muhammad Hawari adalah di Kem 4 (South Cal) Sagarmatha pada 19 Mei setelah beliau berjaya mencapai puncak Everest pada pukul 3.30 petang sehari sebelum itu.

Dia tiba di Kem 4 pada pukul 1.30 pagi (19 Mei) bersama seorang Sherpa yang memintanya tidur berehat sementara dia naik kembali untuk bersama seorang lagi Sherpa yang ketika itu bersama Awang Askandar.

Selesai membantu Awang Askandar sehabis baik, Sherpa itu kembali ke Kem 4 namun mendapati Hawari telah tiada di khemah.

Berikutan itu, Sherpa tersebut melaporkan kepada pasukan di Kem 2 mengenai situasi itu melalui radio walkie-talkie.

Sekitar pukul 10.30 pagi, lapan Sherpa melakukan SAR dari Kem 4 ke Kem 2 namun tidak menjumpai Hawai dan proses mencari berlarutan hingga 11 malam.

Pada Sabtu lalu, tinjauan udara dilakukan.

Dalam pada itu, Azim memaklumkan operasi SAR akan diteruskan hingga 28 Mei.

Katanya dalam kenyataan, SAR memasuki hari keempat melibatkan Persatuan Operator Ekspedisi membabitkan semua operator termasuk sherpa yang dilantik.

“Aktiviti pendakian ke puncak akan ditutup mulai 29 Mei ini dan beberapa prosedur perlu dibuat dan dipatuhi sekiranya Hawari tidak ditemui,” katanya.

Terdahulu beliau berkata jenazah Awang Askandar dibawa turun dari Kem 4 bermula pukul 7 pagi waktu Nepal hari ini.

Katanya proses membawa turun jenazah dikendalikan enam Sherpa secara manual menggunakan pengusung dan dilakukan secara bergilir-gilir hingga ke Kem 2.

Jenazah kemudian dibawa ke Base Camp menggunakan helikopter kerana laluan Khumba Icefall tidak sesuai untuk dibawa secara manual.

Katanya jenazah dijangka tida di Base Camp lewat petang atau malam dan diterbangkan ke Lukla sebelum dibawa ke Hospital Kathmandu dengan helikopter untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun,perkara itu bergantung kepada keadaan cuaca dan sekiranya tidak mengizinkan jenazah diterbangkan esok,” katanya.

(Gambar utama) Gambar terakhir Hawari di atas puncak yang diterima dari Sherpa yang telah berjaya membawa beliau ke puncak Everest pada 18 Mei lalu.