Potret Presiden UMNO bukan hiasan kekal, tidak timbul soal nak tutup – Asyraf
Tuduhan pembangkang bahawa potret pemimpin-pemimpin UMNO di dalam Dewan Merdeka telah dialihkan ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini adalah tidak berasas.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan sebenarnya tidak ada sebarang potret atau hiasan kekal di dalam dewan tersebut sebaliknya bergantung kepada kehendak penganjur yang mahu mengadakan majlis di situ.
“Saya terpanggil untuk memberikan pencerahan dan penjelasan berkenaan pelbagai pihak yang menviralkan termasuk ada juga bekas pemimpin kanan UMNO yang cuba mencetuskan persepsi seolah-olah waktu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini di Dewan Merdeka menutup atau mengalihkan gambar pemimpin UMNO yang lampau.
“Saya ingin menjelaskan Dewan Merdeka adalah milik World Trade Centre (WTC) yang terbuka dari segi penyewaan kepada orang ramai, kepada sesiapa saja yang ingin menganjurkan apa juga bentuk program di dalam Dewan Merdeka tidak ada sebarang wajah atau potret pemimpin atau pun hiasan yang bersifat kekal,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Tiktok.
Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata sekiranya dalam konteks Perhimpunan Agung UMNO, parti itu akan meminta WTC menghiaskan Dewan Merdeka dengan bendera UMNO termasuk potret pemimpin mereka yang terdahulu.
Namun jelasnya, dalam majlis-majlis lain termasuk Barisan Nasional (BN) tidak terdapat potret pemimpin UMNO tersebut iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman AlHaj, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Begitu juga dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, tidak ada istilah nak tutup mana-mana potret, tidak ada istilah nak mengalihkan mana-mana potret mana-mana pemimpin kerana memang di dalamnya tidak ada sebarang potret atau apa juga hiasan kekal,” ujarnya.
@drasyrafwajdi Potret Pemimpin UMNO ditutup/dibuang? Ini penjelasannya..
♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf berkata mungkin ada pemimpin yang sudah lama tidak masuk Dewan Merdeka hingga mereka lupa bahawa sememangnya hiasan potret tersebut tidak kekal di situ.
“Tapi tak apalah yang pentingnya penjelasan ini seharusnya menutup segala mulut yang sengaja mahu mencetuskan keraguan dan mempunyai niat jahat untuk memfitnah kepimpinan seolah-olah kita tidak menghargai ataupun kita melupakan jasa pemimpin-pemimpin yang lampau,” katanya.
BACA JUGA: 148 ahli Parlimen kukuhkan blok Kerajaan Perpaduan
Â