RUU kawalan produk merokok dijangka dibentang sesi Parlimen ini
Kementerian Kesihatan (KKM) sedia membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam berserta peruntukan berkaitan generasi penamat rokok pada sesi Parlimen kali ini.
Penasihat Khas Menteri Kesihatan Dr Helmy Haja Mydin berkata RUU itu berkenaan sangat penting demi melindungi kesihatan generasi muda.
Katanya RUU itu merangkumi dua perkara utama iaitu kawalan terhadap produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape serta pelaksanaan peruntukan generasi penamat rokok.
“Peruntukan larangan bagi generasi penamat rokok hanya tertumpu kepada larangan membeli dan menggunakan, manakala larangan menyimpan atau memiliki rokok atau vape telah digugurkan berdasarkan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Bagi peruntukan larangan ini mereka (yang) bakal terkesan adalah termasuk mana-mana orang yang lahir pada 1 Januari 2007 iaitu pada ketika ini berumur 16 tahun,” lapor Bernama.
Dalam masa sama, beliau berkata RUU berkenaan adalah bagi mengawal produk rokok merangkumi kawalan terhadap pendaftaran, pengiklanan, promosi dan penajaan, pembungkusan, dan penjualan.
“Sebarang pelanggaran termasuk penjualan rokok oleh peniaga atau penjual kepada kanak-kanak yang tergolong dalam kumpulan generasi penamat rokok ini akan menjadi suatu kesalahan apabila RUU ini diluluskan kelak,” katanya.
Pakar Perunding Respiratori, Hospital Pantai Kuala Lumpur itu berkata hasil perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbang RUU kawalan produk tembakau dan merokok 2022 telah menetapkan beberapa pindaan fasal yang berkaitan dengan larangan kepada mana-mana individu yang lahir pada 1 Januari 2007.