Saranan Umno sokong DAP gambaran kerjasama Kerajaan Perpaduan makin kukuh

DAP menganggap saranan supaya pengundi Umno memberikan sokongan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak, sebagai gambaran kerjasama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang semakin kukuh.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai timbal balik, DAP juga akan menggesa agar ahlinya mengundi calon Umno dan Barisan Nasional (BN) demi memantapkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan itu menyifatkan saranan tersebut sebagai munasabah apabila setiap parti dalam gabungan berkenaan wajar saling menyokong, terutama pada PRN tidak lama lagi.

“Ini kenyataan logik. Apabila kita bekerjasama, sudah tentu rakan dalam kerjasama akan saling menyokong.

“Sama juga pemimpin DAP semasa kempen PRN nanti. Kita akan meminta ahli undi calon Umno khususnya.

“Sudah tentu apabila kita bekerjasama dalam satu gabungan, kita mesti sokong antara satu sama lain kerana kita tidak bertanding menentang sesama sendiri.

“Jadi, kita sudah tentu berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Maslan kerana membantu kita,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas saranan Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, agar pengundi Umno di enam negeri yang akan menghadapi PRN memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Pada 19 Mei lalu, Ahmad turut dilapor berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ahli parti perlu mengetepikan sentimen masing-masing dan sedia memberi undi kepada rakan kongsi untuk meneruskan kestabilan kerajaan sedia ada.

BACA JUGA ‘Mahiaddin jangan lupa, kamu pernah kempen sokong DAP 100 peratus’