Anwar: Monopoli tidak boleh diteruskan, merugikan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata amalan monopoli yang dikuasai satu-satu kuasa tunggal di negara ini tidak boleh diteruskan lagi memandangkan ia tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat.

Beliau berkata, perlu ada galakkan persaingan kerana ia mampu menjamin keselesaan kepada rakyat sebagai pengguna, selain membantu ke arah kos yang lebih rendah.

“Soal monopoli, saya setuju bahawa keadaan monopoli ini tidak menguntungkan sebab itu kita sentiasa cari jalan. Air, umpamanya. Air tak dimonopoli sebab di bawah negeri-negeri

“Tenaga dengan IPP (pengeluar tenaga bebas) dan dengan pengurusan sekarang pun, nampaknya mula dipecahkan.

“Tentang lebuh raya, tak semua dibuat oleh kerajaan dahulu (diberi) kepada PLUS, jadi ada persaingan. Tapi saya setuju pada prinsipnya bahawa amalan monopoli tidak boleh diteruskan, harus digalakkan persaingan yang boleh menjamin keselesaan kepada pengguna dan kos lebih rendah,” katanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada monopoli lain oleh pihak kerajaan seperti dalam bekalan elektrik, air dan lebuh raya serta sekolah amanah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dipecahkan, mengambil semangat memecahkan monopoli.

Peralihan kepada model dwi rangkaian

Sebelum itu, Anwar menjawab soalan asal dari Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang bertanya tentang keputusan Kerajaan Persekutuan beralih daripada model rangkaian pukal tunggal kepada dwi rangkaian yang boleh mengakibatkan beberapa kemudaratan seperti kemungkiran kontrak antarabangsa, pelanggaran tatakelola baik, dan risiko keselamatan siber.

Anwar berkata, pada 3 Mei lalu, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan pelaksanaan 5G dan beralih daripada rangkaian pukal tunggal kepada model dwi rangkaian atas beberapa sebab, antaranya untuk meningkatkan persaingan dan menamatkan unsur monopoli yang dikaitkan dengan DNB.

Anwar memberitahu bahawa kerajaan mahu menawarkan kepelbagaian rangkaian dan mengatasi isu titik kegagalan tunggal dalam model Single Wholesale Network dan melibatkan syarikat telekomunikasi yang ada supaya lebih terangkum dan menjamin kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia yang selama ini diterajui swasta.

“Peralihan ini adalah keputusan yang sukar kerana kita mendapat tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu mengekalkan satu rangkaian dan tidak senang dengan sikap Malaysia yang lebih bebas untuk memilih sistem rangkaian yang dikehendaki sama ada di Barat atau di Timur.

“Tetapi keputusan Jemaah Menteri adalah untuk kepentingan keselamatan negara dan kebebasan kita memilih dengan syarat-syarat yang ketat iaitu meletakkan syarat semua telekomunikasi menggunakan rangkaian DNB yang ada, sehingga siap 80 peratus daripada rangkaian.

“Kemudian perlu memastikan kesalinghubungan itu dijalankan termasuk di desa dan pedalaman,” katanya.