Kalimah Allah: Agong dirujuk sebelum tarik rayuan

Kerajaan tidak mengambil keputusan secara diam-diam untuk menarik rayuan dalam kes berkaitan kalimah Allah.

Sebaliknya perkara tersebut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ketika menjawab soalan Datuk Seri Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) dalam sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.

“Pertama, memang dirujuk kepada Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Agong beri pandangan supaya keputusan, harus terikat kepada Majlis Raja-Raja Melayu iaitu Allah tak boleh diguna di Semenanjung dan kelonggaran di beri di Sabah Sarawak.

“Jadi tak timbul sama sekali soal tidak dirujuk. Keputusan dibuat Jemaah Menteri pada 7 Februari adalah memperakui keputusan dan nasihat Agong selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu iaitu nama Allah tak boleh digunakan (di Semenanjung) walaupun ada pandangan-pandangan peribadi yang berkata sebaliknya,” katanya dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian, merujuk kepada keputusan Kementerian Dalam Negeri yang membuat keputusan untuk menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.

Langkah seterusnya adalah untuk memperkemaskan peraturan-peraturan yang mengelirukan agar ia selari dengan pendirian Majlis Raja-Raja.

Katanya, semua peraturan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan hal itu yang tampak lemah dan memberikan ruang untuk sesuatu kes dicabar di mahkamah, akan dibatalkan dan ditarik balik.

Rayuan akan bertentangan ketetapan Majlis Raja-Raja

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya mengapa kerajaan tidak meneruskan rayuan dan membiarkan mahkamah yang menentukan, Anwar berkata ia perbuatan yang agak tidak wajar.

Ini kerana katanya, sekiranya kes diteruskan tanpa pindaan apa-apa peraturan terhadap percanggahan yang wujud, kes tersebut akan terus berbangkit.

Menurut beliau, Peguam Negara berpandangan untuk tidak membuat rayuan kes terhadap isu berkenaan kerana sekiranya dibuat, ia akan bercanggah dengan keputusan Raja-Raja Melayu.

“Semua peraturan termasuk (di bawah) KDN yang nampak lemah dan memberikan ruang untuk dicabar ke mahkamah, akan dibatalkan dan ditarik balik. Peguam Negara berpendapat, rayu boleh tapi ianya akan bertentangan dengan keputusan Raja-Raja Melayu.

“Kemudian kes bangkit lagi. AG juga anggap kes ini lemah. Jadi kerajaan ambil keputusan minta perkenan Raja-Raja, semua yang bercanggah dan bertentangan dengan peraturan-peraturan, kita batalkan atau pinda.

“Kita akan memperkemas supaya tidak ada kekeliruan ini. Maknanya kalau ada apa-apa keputusan termasuk yang dibuat pada 1986, atau 1982, di mana tidak ada yang jelas, maka ia harus dibetulkan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan dengan sengaja mahu memberikan ruang kepada individu bukan Islam untuk menggunakan kalimah suci umat Islam.

Ujarnya, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa penggunaan nama Allah sama sekali tidak boleh digunakan oleh agama lain di Semananjung, kecuali di Sabah dan Sarawak dengan syarat dan ruang-ruang tertentu.

“Jadi saya tak fikir ia munasabah nak digunakan dan dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperakui keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu. Nama Allah tak boleh digunakan di Semenanjung Tanah Melayu.

“Kedua, kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat tertentu untuk Sabah dan Sarawak. Inilah keputusan dibuat menyebabkan tak ada rayuan dalam kes pentadbiran.

“Buat masa sekarang, kita akan meneliti semua peraturan lama di mana sebahagiannya harus dipinda, sebahagiannya harus dibatalkan. Tetapi yang penting hari ini kerajaan sekarang memutuskan supaya tunduk sepenuhnya kepada keputusan Raja-Raja supaya tiada kekeliruan dan kekhilafan sama sekali,” jelasnya lagi.

BACA JUGA: PMQ hangat dengan isu kalimah Allah