Pembangkang cadang LGBT dikategori pesakit mental

Ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Mental Pindaan 2023, seorang ahli Parlimen pembangkang mencadangkan agar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dimasukkan dalam kategori sebagai pesakit mental.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) ketika mencelah perbahasan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) bertanya sama ada LGBT perlu dimasukkan sebagai masalah kesihatan mental.

“Bersetujukah Kapar (Halimah) dengan Pasir Salak, Pasir Salak nak mencadangkan bahawa golongan LGBT juga dimasukkan dalam masalah kesihatan mental?” katanya.

Halimah yang sebelum ini terkait kontroversi isu kanser dan autisme dalam Menu Rahmah kemudian bersetuju memohon supaya cadangan Jamaludin dimasukkan sebagai sebahagian daripada ucapan perbahasannya.

“Terima kasih Pasir Salak (Jamaludin), kira masuklah tu dalam ucapan saya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika sesi perbahasan Chiew Choon Man (PH-Miri), beliau menyangkal cadangan Jamaluddin, mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh sewenangnya digelar mempunyai masalah kesihatan mental tanpa apa-apa asas perubatan.

“Adalah tidak sesuai untuk kita menyatakan siapa-siapa atau mana-mana pihak sebagai mempunyai masalah kesihatan mental tanpa asas perubatan atau pandangan daripada golongan profesional.

“Oleh itu, saya dengan ini menyangkal kenyataan Pasir Salak dalam perbahasan Kapar sebentar tadi yang mengatakan bahawa golongan LGBT harus dimasukkan dalam masalah kesihatan mental,” ujarnya.

Dalam bacaan kali pertama pada April lalu, RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri.

RUU bagi meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.