Penyelaras kawasan di negeri pembangkang belum dilantik

Kerajaan belum lagi melantik penyelaras di kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen untuk negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau menambah bahawa peruntukan khas Perdana Menteri untuk kawasan parlimen hanya pelengkap kepada peruntukan yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia setiap lima tahun.

Penyaluran dan penyediaan peruntukan ini pula adalah mengikut dasar sedia ada dan tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan pusat.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh).

Salamiah bertanya mengenai fungsi dan peranan penyelaras di DUN dan parlimen negeri pembangkang dan samada peruntukan wakil rakyat disalurkan kepada penyelaras di kawasan tersebut.