PN jangan terlalu yakin dengan undi muda – AMK Selangor

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengingatkan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak terlalu yakin dengan sokongan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketuanya, Izuan Kasim berkata, biarpun blok pembangkang itu mendapat sokongan kuat daripada pengundi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, namun ia bukanlah satu kemestian pada PRN kali ini.

“Mood pengundi muda mereka sentiasa berubah-ubah dan ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Oleh itu, PN tidak boleh menganggap pengundi muda itu sebagai ‘bank vote’ mereka,” katanya ketika ditemui Harapan Daily.

Jelasnya, berdasarkan dapatan yang diperoleh, sokongan anak muda kepada Kerajaan Perpaduan dilihat semakin meningkat.

Ia sekali gus membuka ruang untuk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menawan Selangor pada PRN tidak lama lagi.

“Berdasarkan dapatan-dapatan baharu, kita lihat pengundi muda berusia 18 hingga 24 tahun sudah mula menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, jadi ia sudah tentu akan diterjemahkan dalam PRN nanti,” ujarnya.

Tambahnya, sayap pemuda parti itu juga sentiasa melakukan kerja-kerja lapangan sejak Januari lalu bagi menarik hati pengundi terutamanya di kawasan kritikal.

“Selepas PRU15, kita telah membuat post-mortem dan pemukiman antara jentera agar gerak kerja di peringkat AMK dapat diperhalusi terutama di kawasan kritikal.

“Aktiviti-aktiviti penerangan juga dijalankan bagi menyampaikan prestasi Kerajaan Negeri terutamanya skim melibatkan anak muda, jelasnya lagi.

Selain Selangor, lima negeri lagi iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini.

Persetujuan itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pelarasan sebelum menetapkan tarikh bersesuaian untuk PRN.

Untuk rekod, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri menyasarkan gabungan PH-BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu.

Menurutnya, kerjasama blok gabungan tersebut bukan sahaja boleh menawan kawasan bandar malah pengundi luar bandar juga boleh dimenangi terutamanya kubu kuat BN.