PRN: Dukungan sayap pemuda PH-BN Selangor untuk calon muda

Sayap pemuda parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) Selangor optimis untuk memberikan dukungan penuh kepada calon muda dalam gabungan itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua PH Selangor Danial Al Rashid berkata, sayap gabungan tersebut akan memastikan sokongan kepada mana-mana calon yang diwakili dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan berikan komitmen untuk bantu calon-calon muda tanpa mengira parti.

“Kita juga berharap pemuda BN akan bantu PH pada PRN nanti,” kata Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Pemuda Perpaduan Selangor di Shah Alam malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan keperluan mencari titik persamaan untuk memastikan kemenangan di dalam PRN.

Imran yang juga Adun Sungai Panjang berkata, jentera pemuda dalam gabungan blok kerajaan perlu memulakan gerak kerja awal bagi memastikan kemenangan selesa di Selangor.

“BN dan PH masing-masing sudah ada pengalaman mentadbir Selangor sudah pasti ia memberi kelebihan kepada rakyat negeri ini,” ujarnya lagi

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Selangor, Izuan Kasim, berkata beliau mahu negeri pantai barat itu menjadi contoh kepada negeri lain menerusi kerjasama sayap pemuda dalam Kerajaan Madani.

“Jadikan kerjasama (gabungan PH-BN) ini sebagai lembaran baharu serta buat Selangor,” ujarnya.

Semalam, kesemua sayap pemuda parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Selangor mengadakan Majlis Ramah Mesra Pemuda Perpaduan bagi mengenali antara satu sama lain.

Pertemuan tersebut terdiri daripada pemimpin dan jentera sayap pemuda PKR, AMANAH, DAP, Umno, MIC dan MCA.

Gabungan ini akan bertembung dengan Perikatan Nasional (PN) di dalam PRN Selangor.

Selain Selangor, PRN akan turut berlangsung di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sidang Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan pada penghujung bulan Jun.

BACA JUGA: Zahid yakin jentera PH-BN serasi untuk PRN Selangor