Rafie beri bayangan pertahan kerusi DUN Ampangan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek memberi bayangan akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Katanya, beliau memberi gambaran itu berdasarkan kepada keadaan semasa dan akan mempertahankan Ampangan yang merupakan salah satu daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Adat Perpatih itu.

“Melihat kepada keadaan semasa, insya-Allah saya akan mempertahankan kerusi DUN Ampangan. Ampangan ini kalau kita lihat, ia adalah antara kawasan yang paling membangun.

“Dalam lima tahun tempoh pentadbiran ini, pembangunan yang kita bawa memang sudah jelas dilihat oleh masyarakat setempat termasuk pembinaan pasar baharu empat tingkat yang akan menyelesaikan banyak masalah selain memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan Ampangan.

“Di Ampangan, terdapat juga Kompleks Komuniti Ampangan yang baharu. Ia dilihat akan menjadi satu lokasi yang amat baik kepada masyarakat di sekitarnya. Selain itu, Dataran Ampangan juga ada dibina bersebelahan medan selera,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Mohamad Rafie berkata demikian ketika ditanya adakah beliau akan mempertahankan kedudukannya sebagai ADUN atau memberi laluan kepada calon lain pada PRN akan datang.

Dalam pada itu, Rafie turut menyifatkan DUN Ampangan sebagai kawasan yang agak ke depan daripada segi pembangunan fizikalnya.

“Buat pertama sekali dalam sejarah, DUN Ampangan agak ke depan daripada segi pembangunan fizikal dan semestinya bantuan kepada masalah yang dihadapi rakyat, akan diteruskan,” ujar beliau yang juga merupakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Sembilan.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri lain juga bakal terlibat dalam PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, pada PRU15, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilih manakala tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.