Rodziah tidak tolak jika diberi peluang lagi bertanding PRN Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail tidak menolak sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Bagaimanapun, beliau berpendirian menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

Menurutnya, beliau sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat di kerusi Batu Tiga selama tiga penggal berturut-turut dan sudah cukup dikenali oleh para pengundinya.

“Kalau tanya saya secara peribadi, saya rasa tanggungjawab itu kalau diminta untuk dipikul semula oleh saya, saya terpaksa menambah tanggungjawab itu.

“Bukan mudah untuk pegang dua kawasan (Parlimen Ampang dan DUN Batu Tiga) tetapi tidak mustahil kalau ianya diminta oleh pihak pimpinan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harapan Daily ketika ditemui selepas majlis sidang media Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) di Kuala Lumpur, hari ini.

Rodziah yang juga Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor berkata, PRN tidak lama lagi akan menjadi episod yang amat penting kerana PKR perlu mempertahankan kesemua kerusi yang ditandinginya.

Selain itu katanya, majoriti parti politik di negara ini mensyaratkan ahlinya tidak boleh bertanding dua kerusi tetapi tidak terkecuali bagi individu-individu tertentu.

“Ada kemungkinan lain yang dipertimbangkan, pada asasnya kalau tanya saya secara peribadi memang sebaik-baiknya tumpuan diberi khusus kepada satu kerusi sahaja.

“Tetapi kalau pihak pimpinan memerlukan juga khidmat tersebut, saya dan ramai lagi rakan-rakan yang lain (akan) akur tentang keputusan yang ada,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rodziah menang bagi kerusi DUN Batu Tiga dengan mendapat 27,638 undian.

Sementara itu, Ahmad Mua’adzam Shah Ya’kop dari Barisan Nasional (BN) mendapat 12,022 undi dan calon Pas, Abdul Halim Omar mendapat 7,793 undi. Pertembungan tiga penjuru itu menyaksikan jumlah majoriti sebanyak 15,616 undi.

Pada PRU15, Rodziah berjaya menewaskan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk memenangi kerusi Parlimen Ampang di bawah tiket PH apabila berjaya memperoleh undi sebanyak 56,754 undi menewaskan lapan calon lain yang bertanding.

Â