Selangor sokong BPEX sebagai pusat sehenti pembeli

Kerajaan Selangor telah memberikan sokongan kepada Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) Lembah Kelang sebagai pusat sehenti untuk pembeli rumah B40 dan golongan muda bumiputera.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail menyatakan sokongan terhadap penganjuran BPEX bagi membantu golongan bumiputera untuk mendapatkan rumah pertama dengan mudah.

“Sokongan saya kepada BPEX adalah untuk mempromosi rumah harga bebas tetapi ianya mempunyai kuota untuk bumiputera untuk dibeli kerana saya dapati kebanyakan rumah kediaman ini banyak di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Saya ingin jadikan BPEX sebagai pusat sehenti (one stop centre) kerana ramai (pembeli) tercari-cari bagaimana untuk memiliki pelbagai jenis rumah yang menepati citarasa,” katanya pada sidang media di Westlink Garage and Cafe, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Rodziah, bantuan kewangan untuk pembelian turut ditawarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara Berhad (SJKP).

“Jaminan boleh diberi oleh SJKP kepada mereka yang tidak memiliki slip gaji, golongan B40 dan anak muda yang masih belum membeli rumah pertama,” katanya.

Tambah beliau, pada pameran tersebut itu nanti turut akan diadakan beberapa promosi termasuk potongan 15 peratus bagi pembelian unit kediaman.

“Selain itu kos memorandum perpindahan (MOT) dan guaman juga akan diberi pertimbangan oleh pihak pemaju untuk diserap di dalam penjualan tersebut,” ujarnya lanjut.

BPEX 2023 dengan slogan Mudahnya Beli Rumah, anjuran Marvel Management Communication Sdn Bhd akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Pameran ini melibatkan 50 pemaju perumahan dan 4000 unit kediaman.

Ia turut mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.