Walau PM komited bantu negeri Pas, Hadi masih dakwa peruntukan dilengah

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat terus galak bersuara menyerang kerajaan Madani walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar telah komited termasuk akan menambah peruntukan untuk Kelantan.

Hadi menerusi Minda Presiden di media sosial rasminya, hari ini mendakwa negeri di bawah pentadbiran Pas berdepan banyak sekatan apabila urusan kewangan yang wajib mengikut Perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, negeri yang ditadbir Pas dinafikan untuk menerima royalti petroleum tetapi tidak pula situasinya dengan Sarawak dan Sabah.

Dakwanya, kini penafian hak ini dirasai Terengganu, Kedah, dan Perlis yang mana pemberian dilengah-lengahkan dengan pelbagai dalih, bukannya ‘dalil’.

“Keseluruhan pengamat politik lawan Pas, termasuk ilmuwan mereka meremehkan perjuangan Pas dalam menegakkan Islam.

“Seolah-olah tanpa peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri yang diperintah oleh Pas seperti air, barangan keperluan, rumah kediaman, dan lain-lain,” kata Hadi lagi.