Dakwaan Pas akar umbi Umno beralih sokongan berat sebelah – Penganalisis

Seorang penganalisis politik menolak dakwaan seorang pemimpin Pas bahawa separuh ahli akar umbi Umno dijangka beralih sokongan dengan tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti

Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berkata kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki itu bersifat berat sebelah tanpa disokong sebarang kajian atau data.

MAZLAN ALI

Katanya, ahli akar umbi Umno merupakan kumpulan yang sudah lama bertapak dalam politik negara yang sukar untuk diubah pendirian mereka terhadap parti itu.

“Mereka yang akan menukar (sokongan) dengan mudah adalah golongan pengundi atas pagar, ini bermaksud bukan ahli Umno atau mungkin mereka yang pernah menyokong tapi bukan ahli Umno.

“Tetapi kalau ahli Umno ini yang menyokong perjuangan Umno, mereka tidak akan mudah meninggalkan Umno dan senario yang paling buruk pun mereka tidak akan turun mengundi,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Menurut Mazlan sebagai seorang pengkaji dan juga pemerhati politik, dapatan kaji selidiknya pada bulan Mac lalu pula menunjukkan majoriti ahli Umno dapat menerima gabungan parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ahli Umno yang tidak bersetuju menyokong gabungan (Kerajaan Perpaduan) itu adalah kurang daripada 13 peratus sahaja.

“Ahli Umno yang menyatakan penerimaan (sokongan) terhadap Kerajaan Perpaduan berjumlah 68 peratus dan selebihnya tidak tahu atau tidak menjawab,” jelasnya.

Kata Mazlan, ahli Umno faham dengan tindakan pucuk pimpinan mereka menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar untuk menyelamatkan ekonomi dan negara, malah akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

Tambah beliau, majoriti sokongan ahli Umno terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti turut dapat diterjemahkan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) pada 13 Januari lalu.

“Ini terbukti semasa PAU apabila lebih 85 peratus perwakilan menyatakan persetujuan untuk menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden daripada dipertandingkan.

“Ahli Umno budayanya mereka akan menyokong kepimpinan mana yang kuat dan berkuasa, jadi mengapa nak sabotaj partinya sedangkan mereka sekarang menikmati banyak keistimewaan,” katanya.

Terdahulu Zuhdi Marsuki meyakini hampir separuh daripada ahli akar umbi Umno akan beralih sokongan daripada menyokong gabungan PH dan BN.

Menurut beliau, sejak konflik dalaman Umno pada 1987 dengan wujudnya kumpulan A dan kumpulan B, kemudian berpecah pula semasa era Reformasi 1998 dan yang terakhir pasca isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016, lazimnya perpecahan menyebabkan ahli akar umbi terbelah dua.

BACA JUGA: Dakwaan sokongan akar umbi UMNO menurun hanya mainan pembangkang