Guna wang tidak dituntut sebagai biasiswa pendidikan boleh dipertimbang

Kerajaan akan mempertimbang cadangan untuk menggunakan wang yang tidak dituntut supaya dijadikan biasiswa pendidikan bagi pelajar yang berdepan kekangan kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehingga 30 April lalu, jumlah wang tidak dituntut yang diurus oleh Jabatan Akauntan Negara adalah sebanyak RM11.2 bilion.

Menurutnya,  70 peratus daripada keseluruhan jumlah itu adalah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.

“(Daripada RM11.2 bilion), RM10 bilion kita masuk ke dalam akaun simpanan tetap dengan pecahan (RM3 bilion ke akaun hasil disatukan, RM7bilion ke akaun amanah disatukan).

“Dan daripada simpanan tetap itu, kita dapat (pulangan) dalam RM250 juta setahun, kira-kira setiap tahun selama 10 tahun kita dapat.

“Wang RM250 juta itu kebanyakannya kita kembalikan semula dalam wang yang disatukan dan digunakan untuk pembangunan dan bantuan rakyat.

“Untuk cadangan biasiswa daripada RM250 juta setahun itu, boleh kita berikan pertimbangan tetapi setakat ini kita berikan untuk hal-hal secara umum untuk kembalikan wang kepada rakyat,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanyakan jumlah wang tidak dituntut setakat 31 Mac 2023, dan adakah kerajaan bercadang untuk menjadikan wang tidak dituntut itu sebagai biasiswa membantu pelajar layak yang tidak berkemampuan.

Ahmad Maslan menambah, setakat semalam, kerajaan telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion wang tidak dituntut kepada pihak yang membuat tuntutan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk menuntut wang mereka yang masih lagi tidak dituntut menerusi laman Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

“Pertama kena semak dulu ada atau tidak wang tidak dituntut itu. Sesiapa yang ingin tuntut wang ini, tak perlu melantik atau menyediakan ejen. Tak perlu ada pembayaran pun, terus ke laman berkaitan dan jabatan akauntan negara akan proses,” jelasnya lagi.