Isu air bukan masalah di MRSM Langkawi saja tetapi seluruh Langkawi

Isu bekalan air bersih bukan sahaja menjadi masalah kepada pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi sebaliknya ia turut dihadapi oleh seluruh penduduk pulau peranginan di Kedah itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau telah mendapat arahan daripada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu MRSM Langkawi dalam mengatasi masalah air.

Untuk itu katanya Timbalan Perdana Menteri dan Majlis Mara telah meluluskan peruntukan hampir RM1 juta untuk kerja-kerja tambah baik infrastruktur, penggantian alat-alat perkakas termasuklah kerja-kerja membaik pulih saluran air bersih dan tangki air MRSM tersebut.

“Isu air ini bukan masalah MRSM sahaja tetapi seluruh Langkawi. Namun beberapa langkah diambil termasuklah usaha pengetua yang menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak SADA untuk membawa lori-lori air untuk membekalkan air kepada MRSM.

“Menyediakan tangki-tangki tambahan bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat air secukupnya dikala terputus bekalan air,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam Asyraf yang menghadiri perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 sempat turun padang meninjau masalah air di MRSM Langkawi dan mengadakan sesi ramah mesra dan ‘townhall’ dengan para pelajar dan guru.

Aysraf berkata pihaknya mengharapkan kerajaan negeri dapat melakukan tindakan drastik dan komprehensif untuk menyelesaikan isu air di Langkawi.

“Teruja saya melihat anak-anak pelajar MRSM Langkawi yang begitu bertenaga dan aktif dalam sesi townhall. Inilah bakal-bakal pemimpin negara masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tentang berita baik susulan permintaan ibu bapa dan guru MRSM Langkawi yang memohon bantuan untuk mendapatkan kadar tiket penerbangan lebih murah.

“Alhamdulillah, pagi ini sempat bertemu dengan CEO Batik Air, Capt Mushafiz Mustafa Bakri. Dia kata: “Jangan bimbang doktor, apa sahaja yang saya boleh bantu MARA, sila maklumkan. Saya juga adalah ahli ANSARA (Alumni MRSM), sudah tentu saya akan membantu MRSM Langkawi,” katanya.

BACA JUGA: Dana RM50 juta dilulus naik taraf, selenggara institusi pendidikan Mara