Jumlah wang tidak dituntut dibangkitkan di Parlimen

Jumlah wang tidak dituntut merupakan antara persoalan yang diajukan dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu dijadual dikemukakan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) kepada Menteri Kewangan.

Beliau bertanya apakah cadangan untuk memanfaatkan wang tersebut yang terbiar lama untuk pembangunan negara.

Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) pula meminta Menteri Kewangan mendedahkan hasil yang diperoleh hasil penjualan portfolio enam aset runcit di Lembah Klang dan Johor oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Adakah KWSP berhasrat untuk melupuskan satu lagi aset runcit di Lembah Klang seperti yang dilaporkan dan
bagaimana perancangan Kementerian mengenai pelaburan seterusnya oleh KWSP,” soalnya.

Turut tersenarai, soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta Menteri Luar menyatakan langkah kerajaan bagi mengembalikan kegemilangan, kedudukan dan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk ASEAN yang dilihat semakin terpencil serta tidak dinamik seperti pada era 1980-an dan 1990-an.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pula mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai sama ada kementerian berhasrat melaksanakan tabung insentif bagi membantu majikan terutama syarikat swasta mewujudkan peluang bersesuaian dengan bidang kepada pelajar pusat pengajian tinggi yang melaksanakan tugasan latihan kerja dengan elaun berpatutan.

Selesai sesi soal jawab, sidang Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 oleh Ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Selain itu, antara RUU yang tersenarai untuk bacaan kali kedua pada hari ini ialah Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023, Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.