Kebersamaan asas kekuatan Kerajaan Perpaduan

Keutuhan Kerajaan Perpaduan yang memimpin negara pada ketika ini adalah hasil daripada nilai kebersamaan yang wujud antara semua parti dalam gabungan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, berdasarkan keadaan sekarang, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan semua parti bergabung mempunyai matlamat yang sama.

“Jadi ini yang memberikan kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan. Kita bukan nak bermain sentimen perkauman untuk memberikan kelebihan kepada parti politik kita.

“Hari ini kita melihat kepada perkara yang lebih besar untuk negara semakin melangkah terus ke hadapan daripada segi pelaburan ekonomi dan sebagainya selepas kita keluar daripada belenggu pandemik Covid-19 beberapa tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian malam tadi yang bertajuk Selepas Kerajaan Perpaduan, Ke Mana Undi Melayu? yang turut disertai pemerhati politik, Iswardy Morni.

Seorang lagi anggota panelis iaitu ADUN Gunung Semanggol yang juga Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria, tidak hadir.

Enam negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada PRU15 yang lalu.

Pilihan raya di enam negeri tersebut bakal berlangsung selepas pembubaran DUN dalam bulan Jun.