Pas sangat tidak cerdik anggap Umno berebut kerusi dengan DAP

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam membidas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Pusat Khairil Nizam Khairudin yang mendakwa parti komponen Kerajaan Perpaduan itu berebut kerusi dengan DAP.

Menurutnya, Umno tidak pernah pun bertanding di kawasan bukan Melayu dan begitu juga DAP yang tidak pernah meletakkan calon bertanding dikawasan Melayu.

“Di mana logiknya kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairil Nizam?

“Amat sangat tidak logik apabila Ketua Penerangan Pas mengeluarkan kenyataan yang sangat tidak cerdik kononnya Umno sedang berperang dengan DAP berebutkan kerusi,” katanya dalam siaran langsung menerusi Facebook Lokman Noor Adam Official malam tadi.

Lokman mengulas kenyataan Khairil yang dianggapnya fitnah apabila mendakwa Umno sedang berperang berebut kerusi dengan DAP serta berkata PN disokong ramai orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau mencabar Pas yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan bahawa blok pembangkang itu mampu mendapat 80 peratus sokongan orang Melayu.

“Kalau mereka (PN) gagal dapat 80 peratus sokongan orang Melayu, maknanya Mahiddin Yassin, Haji Hadi dan semua kepimpinan PN gagal untuk membuktikan sokongan seperti yang ‘dinyanyikan’ oleh pemimpin-pemimpin PN,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan PN agar tidak terlalu berbangga dengan jumlah 74 kerusi Parlimen yang dimenangi Bersatu dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kalau menang kamu gadaikan prinsip Islam, menyogok pengundi-pengundi dengan menawarkan habuan, ada yang RM350, ada yang dapat RM150 selepas ketua-ketua ‘kelepet’ duit yang sepatutnya diberi, kalau beli undi ini, janganlah bangga dengan apa yang kamu perolehi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa belum pernah ada parti politik lebih-lebih lagi atas nama Islam, menang dengan menyogok pengundi.

“Jangan lupa kamu (PN) menang (PRU15) dengan menipu anak muda, menunjukkan seolah-olah kamu bersih.

“Namun, hari ini kena ingat, sekarang bukan seperti sebelum PRU15, kamu memfitnah, orang lain telan bulat-bulat kerana kamu belum ada kluster mahkamah,” ujarnya.

Sebelum ini, jelasnya, belum didedahkan kekayaan luar biasa melibatkan pemimpin PN tetapi sekarang sudah ‘bocor’ kes membabitkan 10 kontraktor yang memberikan dana berjuta ringgit kepada PN.

“Itu baru buka satu kes Jana Wibawa. Belum lagi selepas ini, anak bekas Perdana Menteri disoal siasat, bekas Timbalan Menteri Kewangan dan seorang lagi Tan Sri sudah dua kali dipanggil SPRM dan bila-bila masa akan dibawa ke muka pengadilan.

“Jadi, tidak payahlah bangga sangat dengan kemenangan 74 kerusi (Parlimen) dengan menyogok anak-anak muda yang baru 18 tahun ke atas,” tambah Lokman lagi.

BACA JUGA Tak berbaloi wakil rakyat BN letak jawatan, Anwar tetap PM” – Lokman Adam