Pemuda Pas Kelantan anggap kerajaan terdesak tayang filem Anwar di sekolah

Pemuda Pas Kelantan menegaskan bahawa belum pernah dalam kerajaan sebelum ini menggunakan pelajar sekolah untuk melaris panggungkan sesebuah filem termasuk melibatkan genre bibliografi pimpinan.

Naib Ketuanya, Firdaus Nawi berkata filem ‘Anwar: The Untold Story’ bukanlah satu-satunya filem yang dihasilkan melibatkan pimpinan negara.

“Banyak filem berteraskan bibliografi pejuang kemerdekaan dan pimpinan negara telah dihasilkan tetapi tidaklah melalui cara terdesak supaya dilihat pecah panggung.

“Apa lagi dibawa masuk ke sekolah-sekolah, melibatkan doktrinisasi minda anak-anak pelajar terhadap pimpinan politik kerajaan.

“Atas tujuan apa barangkali boleh difikirkan tetapi sepintas lalu boleh ditangkap ianya adalah proses cuci minda anak-anak pelajar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, pemimpin muda Perikatan Nasional (PN) itu dilihat tidak pasti sejauhmana dakwaan mengenai tayangan filem tersebut di sekolah.

“Jika benar sebagaimana disebarkan, Fadhlina boleh dilihat membawa KPM (Kementerian Pendidikan) secara tidak wajar melibatkan politik kepartian.

“Menyuburkan suatu budaya lama Barisan Nasional “Si Tukang Kebun boleh menukarkan Pengetua” atas posisi songsang parti memerintah di sekolah.

“Orang lama-lama mesti ingat kisah ini,” katanya tanpa menghuraikan kisah ‘si tukang kebun’ itu.

Filem ‘Anwar: The Untold Story’ mencipta sejarah sebagai filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pihak pawagam, menurut Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar.

Dalam masa sama, naskhah terbitan Yusrych Global Sdn Bhd itu mencipta rekod menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan.

BACA JUGA Filem ‘Anwar: The Untold Story’ suntik semangat reformasi