Anwar: Perbincangan kalimah Allah untuk bukan Muslim secara tertutup sahaja

Isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim tidak boleh dibincangkan secara terbuka hingga ke tahap ia menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Muslim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengulangi keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan dalam kes mahkamah Jill Ireland setelah mendapat pandangan para mufti dan perkenan Raja-Raja Melayu.

Beliau turut menambah bahawa perkara ini telahpun dijelaskan berkali-kali di Parlimen.

“Maksudnya hanya Muslim di Semenanjung Malaysia boleh menggunakan kalimah ‘Allah untuk mengelakkan dari kekeliruan dan masalah dengan agama lain. Jadi bukan Muslim di Semenanjung tidak dibenarkan. Tetapi di Sabah dan Sarawak, ada kelonggaran dengan kawalan supaya ia tidak menyebabkan kekeliruan.

“Isu ini boleh dibincang dan didebatkan, tapi hanya di majlis tertutup. Ia tidak boleh dibuat secara terbuka dan mengelirukan masyarakat. Bagaimanapun, kita masih dituduh mengingkari kepercayaan rakyat,” kata Anwar di Muzakarah Ulama – Umara yang dianjurkan sempena Festival Turath Islami Selangor di sebuah hotel, di Shah Alam.

BACA JUGA: Kalimah Allah: Agong dirujuk sebelum tarik rayuan