Anwar: The Untold Story – PDRM terlibat dalam penilaian semula

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hanya terlibat dalam penilaian semula kandungan filem Anwar: The Untold Story, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Penilaian semula tersebut dibuat berdasarkan Garis Panduan Penapisan Filem, KDN 2010 yang meliputi empat perkara:

a) Keselamatan dan ketenteraman awam
b) Keagamaan
c) Sosiobudaya
d) Ketertiban dan ketatasusilaan

Saifuddin menjelaskan demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar).

Muslimin bertanya samada skrip filem tersebut telah mendapat kelulusan PDRM sebelum penggambaran dibuat.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa penerbitan dan penggambaran filem melibatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (FINAS), di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Agensi yang terlibat dalam filem yang sudah siap untuk ditayangkan ialah Lembaga Penapis Filem dan Kementerian Dalam Negeri.

Anwar: The Untold Story sedang ditayangkan di pawagam sejak 18 Mei menyingkap pengalaman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahun 1993 hingga 1998 yang membangkitkan semangat reformasi.