“Dengan majoriti kuat di Parlimen, tak akan berlaku lagi perubahan kerajaan”

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, dengan majoriti kuat di Parlimen yang menggabungkan sokongan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), tidak akan berlaku lagi perubahan kerajaan sebelum tempoh lima tahun.

Beliau berkata, pihaknya telah mewujudkan “Jawatankuasa Road-To-Go” dengan memasukkan bekas atlet, persatuan sukan kebangsaan dan juga pentadbir sukan yang berpengalaman untuk memastikan walaupun menteri berubah sekali lagi, latihan atlet tidak akan terganggu.

Namun katanya, kerajaan tidak akan berubah dalam tempoh lima tahun ini melihat kepada sokongan kerajaan yang kuat.

“Kami telah sediakan langkah untuk memastikan ketidakstabilan politik tak akan ganggu prestasi atlet lagi.

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia dan bersama-sama bina satu langkah, untuk bantu atlet kita berlatih dan mendapatkan infrastruktur yang mencukupi.

“Dengan adanya Majlis Olimpik Malaysia, walaupun tak ada menteri, jawatankuasa itu tetap boleh berjalan untuk pastikan tidak ada lagi gangguang kepada latihan atlet kita.

“Tapi saya percaya dengan majoriti kuat di Parlimen, tak akan berlaku (perubahan kerajaan) dalam jangka masa lima tahun ini,” katanya kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Sementara itu, menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkenaan dana khas RM30 juta dari cukai gula yang sepatutnya disalurkan kepada institusi sukan negara, Menteri Belia dan Sukan itu menjawab ianya tidak dilakukan lagi sejak Langkah Sheraton berlaku.

“Saya ada tanya mengenai dana-dana ini, saya difahamkan selepas Yang Berhormat tak lagi jadi menteri, dana itu tidak disalurkan kerana itu berbentuk one-off.

“Kita sedang mencari usaha sekarang untuk memperbanyakkan lagi dana,” katanya lagi.

BACA JUGA Langkah Sheraton dalang prestasi atlet semakin terganggu – Hannah