DUN Perak pilih Mujahid dilantik jadi Senator

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini memilih Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebagai Senator baharu bagi mewakili negeri.

Usul pemilihan Ahli Dewan Negara itu dibawa oleh Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad yang kemudian disokong oleh Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja).

Mujahid mengisi kekosongan kerusi Dewan Negara bagi Perak berikutan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid melepaskan jawatan Senator pada November 2022.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika mengumumkan pemilihan itu berkata hanya satu nama calon telah diserahkan kepada Setiausaha DUN sehingga tarikh akhir penamaan calon pada 15 Mei ini.

“Nama Senator yang dipilih oleh DUN ini akan diserahkan secepat mungkin kepada pejabat setiausaha Dewan Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, sebanyak empat usul telah diluluskan dalam sidang DUN kal ini melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023, RUU Perladangan Unggas (Pindaan) 2023, Meminda Perenggan (b) Fasal (1) Perkara (38) XXXVIII Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Pemilihan Ahli Dewan Negara Malaysia.

Sidang DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula Isnin dengan Sesi Soalan Lisan, pembentangan dan perbahasan usul-usul serta meluluskan usul berkenaan.

Seramai 58 daripada 59 ADUN hadir sepanjang sidang kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana berada di Jepun.