Harga kawalan gula bertapis kekal, tiada kenaikan – KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan tular mengenai kenaikan harga kawalan gula bertapis paket 1 kilogram (kg).

Kementerian dalam kenyataan menegaskan gula putih bertapis (1kg) masih mengikut harga kawalan runcit semasa iaitu RM2.85 bagi gula kasar dan gula halus pula RM2.95 bagi setiap 1 kilogram (kg).

“Dakwaan tular mengenai kenaikan harga kawalan gula putih bertapis paket 1kg adalah tidak benar,” kata kementerian dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam kenyataan berkata kerajaan telah membenarkan permohonan dua syarikat pengeluar gula untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih atau dipanggil sebagai ‘gula premium’.

Beliau berkata kebenaran yang diberikan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bermula hari ini dengan harganya ditentukan oleh pasaran dan tidak dikawal.

“Kerajaan bersetuju dengan permohonan ini kerana gula putih bertapis jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).

“Kerajaan juga telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal oleh kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus),” katanya.

Salahuddin berkata kebenaran penjualan gula putih bertapis jernih tidak boleh menggantikan bekalan gula sedia ada.

“Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran.

“Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) kepada pelanggannya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin turut mengajak pengguna untuk mengawasi dan mengawal penggunaan gula demi kesihatan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.