Isu air: MOF, NRECC temui K’tan, Sabah minggu depan

Satu pertemuan membabitkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), kerajaan negeri Kelantan dan Sabah telah diaturkan minggu hadapan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang meruncing di kedua-dua negeri tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seperti mana yang saya telah sebut, saya sedang mengatur pertemuan dengan NRECC, MOF dan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob), begitu juga dengan (pimpinan kerajaan) Sabah.

“Saya cuba ubah suai jadual untuk jumpa (mereka),” katanya yang juga ialah Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sebuah hotel, di Shah Alam, hari ini.

Muzakarah tersebut turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa Tarim, Al-Alamah Habib Umar dari Yaman dan mantan mufti Agung Mesir, Al-Imam Al-Allamah Prof Dr Ali Jum’ah.

Terdahulu, Anwar dilaporkan memberitahu akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob bagi mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri tersebut.

Anwar berkata, pihaknya amat komited dalam mencari jalan kepada isu tersebut setelah mendapat input permasalahan daripada pemimpin negeri berkenaan.

BACA JUGA: Masalah air Kelantan takkan selesai dengan peruntukan