Jakim dapatkan maklumat rakyat kita terlibat ajaran pelik pesantren

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai dakwaan ajaran pelik melibatkan rakyat negara ini di sebuah pesantren di Indramayu, Jawa Barat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya mengambil maklum mengenai ajaran atau amalan yang didakwa tidak selari dengan syariat Islam di pusat pengajian itu.

“Amalan yang berlaku di pusat berkenaan turut dilapor melibatkan beberapa warganegara Malaysia di sana.

“Saya telah meminta Jakim untuk bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Republik Indonesia bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata perkara ini perlu dibincangkan lanjut oleh Panel Kajian Akidah Jakim bagi mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

Terdahulu sebuah akhbar melaporkan artis terkenal Indonesia, Lucky Hakim mendedahkan terdapat ramai rakyat Malaysia hadir pada majlis tersebut.

Pendedahan itu dibuat oleh Lucky Hakim ketika ditemu bual oleh Tvonenews.com baru-baru ini.

Aktiviti di pusat pengajian itu sedang hangat diperkatakan oleh rakyat Indonesia selepas beberapa kontroversi tercetus antaranya saf solat sunat Aidilfitri dalam keadaan jarak selain bercampur antara jemaah lelaki dan wanita.

Kemuncaknya, pengasas pesantren meminta para pengikutnya menyanyikan lagu dan mengucapkan salam Hebrew. Terdapat juga rakaman seorang wanita menyampaikan khutbah Jumaat dipercayai di pusat pengajian tersebut.