Jemaah haji Malaysia masuki Tanah Suci Mekah bermula Jumaat

Jemaah haji Malaysia akan mula memasuki Tanah Suci Mekah, Arab Saudi secara berperingkat esok melibatkan kumpulan KT1 dan KT2 seramai 565 orang.

Pengarah Operasi Maktab Mohd Sawal Abong berkata pihak sudah bersiap sedia dari segi penginapan dan kebajikan bagi menyambut ketibaan jemaah tersebut.

Katanya, semua penginapan jemaah tidak melebihi jarak 1 kilometer dari dataran Masjidilharam.

Tambah beliau di setiap bangunan penginapan juga terdapat pelbagai kemudahan seperti klinik kesihatan, urusan pengeposan, dobi, kafe dan bimbingan ibadah.

“Bagi jemaah yang datang berkeluarga kita sudah susun penempatan agar berada hampir antara satu sama lain supaya memudahkan pergerakan mereka nanti,” katanya kepada media Malaysia hari ini, lapor Sinar Harian.

Laporan menyebut terdapat empat zon melibatkan sembilan buah maktab yang ditempatkan di 12 buah hotel iaitu Zon A Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Masat Al Badaya.

Zon B pula terdiri daripada Zwar Al Bait, Jawharat Al Bait dan Al Fajer Al Badaya 2 dan Zon C melibatkan hotel Diary Al Saad dan Rehab Al Janadriyah.

Bagi Zon D melibatkan hotel Land Premium, Al Fajr Al Badee 5, Manar Al Shorouq dan Rawdhat Al Shorouq.

Mohd Sawal berkata selepas tiba di Mekah, jemaah akan dibawa menunaikan ibadah umrah pertama mereka.