Kalau ada “ahli yang berhormat” guna sijil palsu, sila kemukakan bukti

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius sebarang laporan membabitkan integriti dan kualiti institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS) yang terlibat dengan penjualan sijil palsu dalam kalangan graduan mahupun ahli politik.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, bagi kes penjualan sijil di IPTS, KPT akan bertindak berdasarkan aduan yang diterima terus oleh KPT atau melalui keseluruhan aduan dalam talian menerusi sistem pengurusan aduan awam (SISPA).

Namun katanya, sehingga kini KPT tidak pernah menerima kes aduan yang melibatkan penjualan sijil ijazah, sarjana, dan doktor falsafah (PhD) yang melibatkan IPTS di negara ini.

“Menyentuh tentang sijil palsu ini atau dakwaan ahli berhormat memiliki sijil palsu, kita di pihak kementerian memang ada mendengar cerita sedemikian tetapi setelah mereka mendendangkan ini, tak nampak pula ada yang didakwa.

Tindakan terhadap ahli politik yang membeli sijil akademik palsu hanya akan dapat diambil jika ada bukti – Gambar hiasan.

“Jadi, maksudnya, kita tak boleh ambil tindakan atas dasar maklumat seperti yang diuar-uarkan. Kalau pun betul ada, kita minta Yang Berhormat kemukakan bukti bahawa ada ahli-ahli berhormat yang pegang sijil palsu,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya berapa banyak kes penjualan sijil berlaku di dalam negara, dan dakwaan ahli politik Malaysia terlibat dalam pembelian sijil akademik palsu.

Ahli Parlimen Lahad Datu itu menambah, dalam soal sijil palsu, ia tidak selalunya berpunca dari institusi itu sendiri, tetapi boleh disebabkan pemalsuan dokumen yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Semua ini menjadi satu perkara yang memerlukan kita bukti yang nyata. Makanya kalau ada bukti, laporlah pada pihak berkaitan khususnya kementerian.

“Menyentuh soal syarat nak jadi menteri mesti ada ijazah, rasanya ini kita serahkan pada pihak lebih bertanggungjawab untuk buat keputusan sama ada perlu ada ijazah untuk jadi menteri atau tidak,” kata Yusof lagi.

BACA JUGA Kerajaan perkasa TVET tingkatkan kualiti latihan anak muda