Kerajaan agih hampir RM15 juta kepada Kedah pelihara hutan
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah mengagihkan peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada kerajaan negeri Kedah sebanyak RM14.6478 juta.
Menurut Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, jumlah itu merangkumi sebanyak RM5.83 juta pada 2019 diikuti RM4.4089 juta (2021) dam RM4.4089 juta pada tahun 2022.
“Peruntukan bagi tahun 2023 akan diagihkan kepada Negeri-negeri dalam masa terdekat mengikut Garis Panduan Pelaksanaan EFT di bawah NRECC termasuk mengambil kira kriteria ekologi berasaskan keberhasilan,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung jumlah EFT yang diterima di Kedah setiap tahun bermula tahun 2019.
Nurul Amin juga bertanyakan mengenai rancangan Kementerian bagi memastikan jumlah yang diterima setimpal dengan kos melepas pemeliharaan hutan dan ekologi terutama di Hutan Simpan Ulu Muda.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi memaklumkan insentif kewangan bagi EFT telah diperkenalkan pada 2019 sebagai satu bentuk insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan (protected areas).
Tambahnya, sebanyak RM200 juta telah diagihkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri sejak EFT diperkenalkan hingga 2022.
BACA JUGA Hasil hutan simpan bukan idea ekonomi ‘The Greater Kedah’
Â