Komitmen kerajaan selesai isu air di Kelantan, Sabah tidak gugat kuasa negeri

Kerajaan memberi jaminan bahawa hak, bidang kuasa dan kepentingan Sabah tidak akan diganggu gugat susulan komitmen yang dizahirkan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan isu air di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, memberi jaminan sedemikian, mengatakan bahawa perkara itu selari dengan Senarai IIA Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

“Air merupakan salah satu bidang kuasa negeri, (sebagaimana terkandung dalam) senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi (Ahli Parlimen) Tawau tidak perlu risau, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan sentiasa menghormati hak dan juga kepentingan negeri termasuklah bidang kuasa tambahan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan berkata, buat masa ini kerajaan Sabah sedang memuktamadkan senarai permintaan yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu.

Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang ingin tahu komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah sebagaimana dinyatakan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

Pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan minggu lalu, Perdana Menteri dalam ucapannya menyatakan komitmen kerajaan dalam usaha mengatasi masalah air yang dihadapi rakyat Sabah.

Selain Sabah, Kelantan juga menjadi tumpuan Menteri Kewangan itu dalam usaha menyelesaikan isu air meskipun ia bakal membabitkan perbelanjaan besar.

Sementara itu, Armizan berkata, rundingan telah pun bermula sebaik sahaja komitmen disuarakan Perdana Menteri, di mana Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengadakan rundingan dengan Kelantan.

“Sabah juga, kerajaan negeri tengah memuktamadkan ‘wishlist’ mereka untuk dikemukakan,” kata Armizan lagi.

BACA JUGA ‘Isu bekalan air di Kedah ada tapi kerajaan negeri susah nak berunding’