Negeri Sembilan naikkan kadar dermasiswa kepada RM300 sebulan

Kadar bantuan dermasiswa di Negeri Sembilan kini dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 sebulan bagi pelajar tahfiz (Diploma) di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dermasiswa berbentuk bantuan wang saku diberikan kepada pelajar SMAN dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang layak mengikut syarat ditetapkan.

“Bagi SMAN (Maahad Ahmadi dan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan), semua pelajar layak menerima dermasiswa.

“Untuk kelulusan terkini kuota penerima dermasiswa tingkatan satu hingga tingkatan lima bagi SABK pula adalah seramai 40 peratus.

“Peratusan itu adalah daripada jumlah pelajar mengikut syarat kelayakan ditetapkan. Bagi pelajar tingkatan enam, semua pelajar layak menerima dermasiswa,” katanya lapor portal berita Negeri Kita.

Untuk rekod, awal bulan lalu, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan perkapita dan dermasiswa sebanyak RM4,161,090 kepada institusi pendidikan Islam yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Aminuddin berkata peruntukan disalurkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan JHEAINS itu diharapkan dapat membantu program dan pengurusan sekolah di samping meringankan beban institusi pendidikan yang terlibat.

“Bantuan perkapita untuk institusi pendidikan Islam pada tahun ini sebanyak RM2,470,890 berbanding RM1,695,440 pada tahun 2022.

“Pada tahun ini, dermasiswa untuk 1,767 pelajar berjumlah RM1,690,200 berbanding pada tahun lepas berjumlah RM845,880 bagi 1,659 pelajar.

“Ia melibatkan jumlah peruntukan RM4,161,090 berbanding RM2,541,320 pada tahun 2022,” ujar beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.