PM Anwar ingatkan anak muda elak jadi ‘pencacai’, ‘walaun’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anak muda supaya tidak hanya menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berharap agar golongan muda dapat melihat dan mengkaji sesuatu maklumat sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ada (golongan) anak muda tetapi perangai (mereka) lebih teruk daripada orang tua, ada anak muda tetapi (mereka) menjadi tali barut atau pencacai (dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan).

“Apa erti (kita punyai) anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja (apa yang diperkatakan dan menjadi) sebagai macai (yang) tidak berfikir, ataupun sebagai ‘walaun’.

“Anak muda (yang) kita (mahukan adalah punyai) nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut (ciri) idealisme,” katanya.

Anwar berharap anak muda minat dalam menimba ilmu dan menjunjung nilai kebaikan.

Anwar berkata demikian ketika Sesi Santai Petang dan Dialog bersama Perdana Menteri di Dewan Gunung Mat Chinchang, Kolej Vokasional Langkawi semalam.

Beliau dalam masa sama turut berharap anak muda tidak tertipu dengan propaganda politik oleh pihak tertentu selain perlu dilatih untuk membuat penilaian dengan baik terhadap sesuatu perkara.

Jelasnya, tuduhan yang mengaitkan beliau dengan gejala negatif lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selain ancaman kaum adalah palsu.

Anwar berdialog dengan anak muda yang belum lahir pun ketika memuncaknya era Reformasi.

“Begitu juga hak dalam memilih (atau) mengundi, (ada yang dakwa) kalau sokong Anwar, dia akan sokong LGBT, kalau sokong Anwar, (orang) Cina akan berkuasa, (semua) ini tidak betul.

“Ini jadi masalahnya (sebenarnya), maknanya kita (semua terutama orang muda) tertipu dengan propaganda politik, (contohnya) pada masa kempen (PRU-15), mereka kata kalau sokong Anwar, Islam akan dibenamkan, (semua itu tidak benar),” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.