Sedia pertahan DUN Morib meski PN hantar ‘jerung’ – Hasnul

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, beliau tiada sebarang masalah jika Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon kategori ‘jerung’ atau berjawatan tinggi bagi mencabarnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Menurutnya, beliau bersedia mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2013, namun keputusan akhir berhubung perkara itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk dimuktamadkan.

“Sesiapa pun yang datang ke DUN Morib, saya sudah cukup bersedia dan tiada masalah untuk menghadapinya.

“Seperti baru-baru ini, terdapat ura-ura mengatakan Azmin Ali nak bertanding di sini (Morib).

“Itu sudah cukup jelas bahawa orang di kawasannya (Bukit Antarabangsa) tidak menerimanya lagi,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu berkata, beliau yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengekalkan kemenangan di DUN Morib seterusnya mentadbir kerajaan negeri Selangor.

“Daripada segi perkhidmatan kepada rakyat, pelbagai inisiatif dan program anjuran kerajaan negeri Selangor sudah cukup membuktikan keprihatinan kita untuk terus membantu rakyat di negeri ini.

“Selain itu, sejak 2008, saya sudah berkhidmat kepada rakyat di sini sebagai penyelaras DUN selain berkhidmat selama dua penggal sebagai ADUN,” katanya.

Malah, jelas Hasnul, pelbagai usaha telah dilakukannya bagi kerja-kerja pembangunan dan perancangan untuk kemajuan di Morib mencapai kejayaan.

Kata beliau, antaranya menyediakan projek pembangunan kemudahan pelancongan di Pantai Morib dan Pantai Kelanang selain menaiktaraf kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya di kawasan perumahan.

Untuk rekod, Hasnul menyandang sebagai ADUN Morib pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas menang dengan meraih 11,000 undian.

Beliau mempertahankan kerusinya dengan merekodkan majoriti sebanyak 2,117 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan AMANAH Selangor ini dahulunya merupakan ahli Pas ketika bertanding pada PRU13 namun pada PRU14, beliau memilih parti AMANAH bagi meneruskan perjuangannya dalam misi menyantuni masyarakat dan keadilan.

BACA JUGA Azmin tidak relevan lagi