Semua calon BN PH di Kedah adalah ‘poster boy’
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menamakan ‘poster boy’ untuk Kedah dalam pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Kedah, Datuk Wira Mafuz Omar berkata, sebaliknya, semua calon yang bertanding dalam gabungan PH-BN merupakan ‘poster boy’.
“Terserah kepada ke bawah Duli Sultan Kedah untuk melantik siapa yang akan menerajui kerusi Menteri Besar Kedah selepas pilihan raya nanti,” kata Mahfuz.
Mahfuz juga berkata semua penyokong dan pemimpin PH dan BN menerima semua keputusan pimpinan Pusat dalam menentukan kerusi mana yang akan ditandingi dan siapa calonnya.
“Apabila pihak pusat telah membuat keputusan mengenai kerusi yang akan dipertandingkan menjelang pilihan raya negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi, semua parti harus akur dan mendokong bersama keputusan tersebut.
“Demi masa depan negeri Kedah semua pihak harus menerima apa jua keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi,” katanya.
Selain itu tegasnya, cabaran yang sedang dihadapi oleh rakyat negara ini begitu serius iaitu propaganda ekstrim yang dilakukan secara agresif dengan menyebarkan fitnah, adu domba serta isu agama dan fahaman sempit bagi menimbulkan kebencian.
“Anak muda mesti agresif terhadap penggunaan media sosial serta tindakan perlu diambil supaya mesej dapat disampaikan kepada golongan tersebut sepertimana yang telah dilaksanakan oleh pihak lawan semasa pilihan raya umum(PRU,) ke-15 yang lalu.
“Dalam PRU yang lalu, serangan pukau dengan menggunakan sentimen ketakutan telah mereka lakukan dan ia mesti segera dirawat agar rakyat sedar untuk segera membuat perubahan bagi negeri Kedah.
“Kemenangan boleh dicipta di Kedah dan sudah tiba masanya bagi golongan muda didewasakan pemikiran mereka serta golongan senior pula diremajakan tindakan mereka seiring dengan keperluan golongan muda yang merupakan sebahagian besar daripada pengundi,” ujar beliau.
Malah saran Mahfuz, semua pihak tidak harus dibayangi dengan keputusan PRU yang lalu, sebaliknya mencipta kemenangan negeri Kedah bagi memastikan seiring dengan Kerajaan Perpaduan peringkat Pusat.
Â