Tegur dengan berani, bukan untuk mencerca, ulama diseru

Golongan ulama diseru agar berani membuat teguran kepada kerajaan demi mengangkat martabat umat dan negara, seru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan sedia mendengar teguran tersebut selagi mana ia dibuat dengan baik, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

“Ini tiada perbezaan pendapat, ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi supaya dapat diperbaiki dan itu ditekankan oleh ulama, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

“Apabila pimpinan (kerajaan) pula mendengar ulama bercakap dengan ikhlas, berani menegur dengan baik, dan (kita sedia) terima dengan baik teguran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sebuah hotel, di Shah Alam, hari ini.

Muzakarah tersebut turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa Tarim Yaman, Al-Alamah Habib Umar dan Mantan Mufti Agung Mesir, Al-Imam Al-Allamah Prof Dr Ali Jum’ah.

Beliau menambah bahawa adakalanya kerajaan tidak dapat melaksanakan teguran membina tersebut kerana keadaan sosiopolitik tertentu.

Dalam ucapan penutupan, Anwar turut berkata, Habib Umar dan Ali Jum’ah tahu bahawa parlimen sedang bersidang ketika ini.

“Saya lihat ramai menteri, ahli parlimen di sini. Jadi hati saya berdebar juga takut permasalahan di sana (parlimen).

“Walaupun parlimen itu penting, saya rasa Fiqh al-Awlawiyyat saya betul iaitu memilih sidang ilmu dan mendampingi ulama.

“Mudah-mudahan tidak kalah usul di parlimen,” katanya.

Fiqh al-Awlawiyyat adalah istilah yang merujuk kepada panduan atau kaedah ke arah memahami perkara-perkara yang lebih utama dalam agama.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan berjaya meluluskan pindaan akta di Dewan Rakyat dengan majoriti 83-52.

BACA JUGA: Isu air: MOF, NRECC temui K’tan, Sabah minggu depan