Lebih 1,000 pengamal media sambut Hari Wartawan Nasional di Ipoh

Kira-kira 1,000 pengamal media tempatan termasuk wartawan dari beberapa negara ASEAN berkumpul di Ipoh, Perak esok sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi menghargai sumbangan dan jasa golongan itu dalam pembangunan negara.

Bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ pelbagai aktiviti telah dirancang untuk pengamal media dan pakar industri sempena sambutan tiga hari itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir pada sambutan itu pada Ahad (28 Mei) di Hotel Casuarina Meru.

Sambutan HAWANA 2023 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.

Sambutan itu dimulakan dengan acara mencari harta karun melibatkan 150 peserta daripada pelbagai agensi media yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching dari Wisma Bernama di Kuala Lumpur pada pukul 7 pagi esok.

Bernama melaporkan konvoi melibatkan 30 buah kereta HAWANA Media Hunt akan melalui Tanjung Malim, Gopeng, dan Kuala Kangsar dan dijangka tiba di Ipoh pada pukul 3 petang manakala majlis penyampaian hadiah dijadualkan pada Ahad.

Kejohanan boling juga diadakan di Ipoh Bowl, Aeon Kinta City esok di mana kira-kira 100 pengamal media akan mewakili 18 pasukan.

Pada Ahad, satu forum anjuran bersama Bernama dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) akan diadakan melibatkan 150 peserta termasuk wartawan dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun dan Kuwait.

Bertemakan ‘Masa Depan Media’, forum itu dijadual dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum slot pertama bertajuk Survival Media Tradisional di Era Digital.

Empat ahli panel akan mengambil bahagian dalam perbincangan iaitu Ketua Editor The Jakarta Post M Taufiqurrahman, Penasihat Kanan Persatuan Pengiklan Malaysia Mohammad Kadri Taib, Ketua Pegawai Operasi Rev Media Group yang juga Pegawai Operasi dan Transformasi Teknologi di Pejabat GMD Media Prima Nicholas Sagau dan CEO Kumpulan Mindshare S.Sheila.

Slot kedua bertajuk Kewartawanan dalam Era Digital pula menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Suhaimi Sulaiman, Pengurus Negara di AFP untuk Malaysia, Indonesia dan Brunei Alric Manickam dan pakar strategi jenama Brandzperts Andrew Ambrose.

Acara kemuncak adalah ialah ucapan perasmian Perdana Menteri pada sebelah petang di mana beliau turut akan  menyampaikan Anugerah HAWANA 2023 kepada seorang penerima serta bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga penerima terdiri daripada wartawan veteran yang menghadapi masalah kesihatan dan kesukaran hidup.

Semalam Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memberi perkenan kepada tiga pengamal media di negeri itu untuk membacakan khutbah solat Jumaat bertemakan ‘Kewartawanan: Melaksanakan Tugas Berlandaskan Nilai-Nilai Islam’ di tiga masjid hari ini.

Bagi memeriahkan sambutan HAWANA 2023, satu mini karnival selama tiga hari akan diadakan dari pukul 10 pagi hingga 6 petang di Mydin Mall Meru bermula esok melibatkan 14 agensi kerajaan dan swasta.

Agensi terlibat ialah Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia, RTM, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Tourism Perak.

Turut terlibat Media Sarawak, The Vibes.Com & Getaran.My, Cybersecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Institut Darul Ridzuan, Majlis Daerah Selama, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan PerakFM.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Negara sempena penerbitan akhbar Melayu edisi pertama, Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

BACA JUGA: Tugas wartawan laporkan kebenaran adalah fardu kifayah