PM Anwar sertai 18,000 orang hadiri Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra
Lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya malam tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di masjid itu pada pukul 7.20 malam dan disambut oleh dua tokoh ulama besar iaitu bekas Mufti Agung Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafidz.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli program bacaan maulid.
Perdana Menteri dalam ucapannya berkata program itu memberi peluang kepada umat Islam untuk bersama-sama mendengar kupasan penuh hikmah dan bijaksana oleh dua ulama tersohor berkenaan.
“Dalam mukadimah mengatakan inilah maksud negara MADANI, kembali kepada asas, menjadikan masjid sebagai pangkalan dari segi ibadah serta ilmu dan meletakkan semua dasar pendidikan, ekonomi, dengan semangat ihsan dan berakhlak serta amanah supaya benar-benar mengangkat martabat dan darjat umat.
“Bagi rakan-rakan bukan Islam, semangat dan nilai yang dipupuk, akhlak yang ditekankan, ihsan dan rahmah itu akan menjadikan Malaysia ini negara yang berpaut pada Islam tetapi cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh bersama-sama secara aman dan penuh hikmah mengangkat martabat, darjat, harakat umat dan bangsa,” katanya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian tausiyah oleh Syeikh Dr Ali Juma’ah dan Habib Umar.
Kedua-dua tokoh ulama itu sebelum ini membuat pengisian sepanjang Festival Turath Islami Selangor di Shah Alam dari 20 hingga 25 Mei lepas.
Usai penyampaian tausiyah, Perdana Menteri bersalaman dengan para jemaah sebelum meninggalkan majlis pada 9.30 malam.
BACA JUGA: Tegur dengan berani, bukan untuk mencerca, ulama diseru