Tugas wartawan laporkan kebenaran adalah fardu kifayah
Peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang benar merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.
Malah tugas pengamal media itu menyampaikan kebenaran dianggap sebagai fardu kifayah yang perlu dilaksanakan secara jujur, ikhlas dan berpandukan adab berlandaskan nilai-nilai Islam antaranya bersikap terbuka, adil, saksama, seimbang serta tidak memfitnah.
Demikian dinyatakan dalam khutbah Jumaat di Perak hari ini yang menampilkan kelainan apabila pengisiannya menekankan tentang tugas seorang wartawan menurut pandangan Islam.
Menerusi khutbah bertajuk ‘Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam’ sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 29 Mei ini, ia menyebut bahawa tugas wartawan dipenuhi pelbagai cabaran, kesulitan dan keadaan bahaya ketika menjalankan tugas.
Menurut teks khutbah itu, ada kalanya petugas media terpaksa berjaga sepanjang malam, terdedah kepada perubahan cuaca dan juga persekitaran yang tidak menentu.
”Apatah lagi apabila mereka ditugaskan membuat liputan berita di kawasan yang dilanda bencana alam atau di kawasan yang terlibat dengan konflik dan peperangan.
”Peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang benar merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.
”Perkara yang benar wajib dikatakan benar dan perkara yang salah wajib dikatakan salah,” tulis teks khutbah itu.
Ia adalah berdasarkan ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 42 mengenai larangan mencampur adukkan yang benar dengan yang salah, sementara yang benar itu pula disembunyikan sedangkan ada pengetahuan mengenainya.
Khutbah itu turut menyebut tentang sikap benar yang ada pada burung Hud-hud ketika menyampaikan berita penting kepada Nabi Sulaiman AS mengenai perihal sebuah kerajaan yang tidak beriman dengan Allah SWT.
”Lalu bertindak atas berita yang sahih, Nabi Sulaiman AS mengutus perutusan dakwah kepada Ratu Balqis. Sesungguhnya dalam bahasa mudah, perbuatan menyampaikan berita yang dilakukan oleh burung Hud-hud, menyamai peranan wartawan pada hari ini.
”Berdasarkan peristiwa Burung Hud-hud dengan Nabi Sulaiman AS itu, tugas mencari, mendapatkan dan menghasilkan berita dalam apa juga saluran, baik secara tulisan, pendengaran dan penglihatan, sama ada melalui akhbar, radio dan televisyen, mahupun saluran media sosial yang semakin popular dan semakin berpengaruh, hendaklah berlandaskan kebenaran,” katanya.
Khutbah itu juga mengingatkan kepada pengamal media agar memenuhi tanggungjawab fardu kifayah yang diamanahkan itu secara jujur, ikhlas dan berpandukan adab berlandaskan nilai-nilai Islam antaranya bersikap terbuka, adil, saksama, seimbang serta tidak memfitnah.
Kedua, menyaring maklumat yang diterima dengan maksud menyemak dan mengesahkan kesahihan maklumat seperti yang diamalkan oleh para sarjana hadis ketika meriwayatkan sesuatu hadis dengan memastikan sumber dan kesahihannya.
Ketiga, menginsafi bahawa bakat menulis ialah kurniaan Ilahi. Oleh itu tidak sama sekali (jangan) menyalahgunakan bakat kurniaan Ilahi dengan membenarkan diri diperalatkan untuk menyebar fitnah kerana tarikan upah, kebendaan, ganjaran, pangkat dan jawatan.
Keempat khutbah itu menyebut agar pengamal media mengambil tanggungjawab untuk sama-sama membantu membangunkan sebuah negara yang aman lagi makmur, merdeka dan berdaulat, rakyatnya teguh bersatu, hidup secara rukun dan damai dalam semangat muhibah dan saling menghormati meskipun berlainan agama dan latar belakang kaum.
Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilapor memberi perkenan kepada pengamal media membacakan khutbah Jumaat sekali gus merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap profesion kewartawanan di negara ini.
Mereka adalah Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad yang membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah manakala dua lagi adalah Editor, Rencana Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob di Masjid Sultan Idris Shah II, dan Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, Mohd Fahmi Mohd Nor di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.
Perkenan itu sempena sambutan Hawana yang akan berlangsung di Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini.
BACA JUGA: Tabung bantu wartawan susah dilancar sempena HAWANA 2023