Jenazah pendaki Everest Awang Askandar selamat dikebumi
Jenazah anggota misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, Papar, Sabah pada pukul 5.20 petang tadi.
Terdahulu jenazah Awang Askandar, 56, yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira pukul 2.15 petang tadi.
Jenazah Allahyarham diterbangkan dengan penerbangan MH2646 pada pukul 11.35 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapor Bernama.
Orang ramai membaca doa ringkas mendoakan kesejahteraan Allahyarham dan kemudian seramai 10 pegawai APM Sabah membawa jenazah dengan kawad penghormatan dari kawasan kargo ke dalam van jenazah.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Datuk Muhammad Alamin, Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed serta abang Allahyarham, Awang Asim Ampuan Yaacub, 57.
Pada kira-kira pukul 2.30 petang, jenazah Allahyarham dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Benoni, Papar dari KKIA, sebelum tiba di Masjid Jamek As Salam kampung tersebut pada pukul 3.37 petang untuk dimandikan dan dikafankan.
Jenazah Awang Askandar kemudian disembahyangkan dengan diimamkan Imam Masjid Jamek As Salam Hamdani Omar bersama para jemaah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM pada pukul 4.38 petang dan selamat dikebumikan petang ini.
Media sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
BACA JUGA: Pendaki OKU Malaysia mungkin terjatuh ke Kem Dua, Gunung Everest
Â