Kegagalan projek Lembah Sireh, kecekapan Kerajaan Pas Kelantan dipersoal

Soal kecekapan kerajaan Pas Kelantan yang telah memerintah negeri itu selama 33 tahun dipersoalkan apabila projek pembangunan Lembah Sireh di tebing Sungai Kelantan di Kota Bharu dan Tumpat menemui kegagalan.

Melalui projek tersebut kerajaan negeri bersetuju memberikan tanah seluas kira-kira 400 hektar kepada pemaju tersebut dengan bayaran premium hanya sebanyak RM1 juta.

Sebagai ganti, pemaju perlu menjalankan beberapa projek di negeri ini membabitkan kos dianggarkan RM370 juta.

Berdasarkan surat pada 1 Mac 2203 membabitkan kelulusan cadangan memasukkan Zon D (Lembah Sireh) ke dalam projek pembangunan tebing Sungai Kelantan membabitkan syarat membina sebuah masjid bernilai RM20 juta dan membina jambatan penghubung Kampung Cina di sini dengan Palekbang Tumpat bernilai RM150 juta.

Selain itu, syarikat pemaju juga turut diminta membina jambatan berkembar bersebelahan Jambatan Sultan Yahya Petra bernilai RM160 juta dan membina sebuah stadium tertutup wanita benilai RM25 juta dan memasukkan wang ke dalam tabung perumahan sebanyak RM15 juta.

Dalam pada itu, kelulusan tersebut juga menetapkan kadar bayaran pampasan kepada petani di mana bayaran dibuat sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun secara didahulukan.

“Gerai-gerai juga akan dibina untuk diberi niaga kepada petani-petani atau diberi sewa…,” kata syarat dalam surat itu.

Salinan surat tersebut kini tersebar di media sosial.

Rakyat Kelantan melontarkan persoakan adakah semua projek tersebut telah terlaksana dan penjelasan perlu diberikan mengapa perkara tersebut berlaku?

“Mana janji kepada petani yang masih menantikan sebahagian daripada pampasan dan lot gerai yang dijanjikan kepada mereka? Tak pelawok lagi setara ni janji Lebai Pas?,” kata seorang penyokong AMANAH, Johar Ismail.

Kesilapan kerajaan Pas Kelantan

Ketidakcekapan kerajaan Pas Kelantan juga terbukti apabila baru-baru ini Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui bahawa kerajaan Kelantan melakukan kesilapan semasa memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju Liziz Standaco Sdn Bhd bagi pembangunan Lembah Sireh.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli negeri berkata bagaimanapun, kerajaan negeri telah mengadakan rundingan semula dengan syarikat berkenaan bagi mewujudkan situasi yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

“Kita buat beberapa perubahan (terhadap perjanjian awal) kerana terdapat beberapa isu besar. Kerajaan sepatutnya menyerahkan 1,000 hektar kepada pemaju tetapi setelah usaha dibuat, kita hanya dapat serah 700 hektar sahaja.

“Hasil perbincangan itu, syarikat itu bersetuju untuk menyerahkan sumbangan sebanyak RM148 juta kepada kerajaan negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim pada Selasa lepas, memetik laporan Bernama.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bertanyakan mengenai dakwaan kegagalan tujuh janji yang dikemukakan syarikat pemaju itu bagi membangunkan Lembah Sireh.

Rakyat Kelantan turut terkejut apabila tanah yang sebelum ini dijual kepada pemaju pada harga RM1,000 seekar telah dijual semula dengan harga berlipat kali ganda.

Perkara itu terdedah apabila laporan pada April lalu menyebut syarikat Aeon Co (M) Bhd membeli tanah seluas 8.691 hektar di Kota Bharu pada harga RM165 juta.

Aeon membeli tanah itu daripada Liziz Standaco Sdn Bhd iaitu syarikat yang diberikan kelulusan membangunkan projek Lembah Sireh.

Liziz Standaco dimiliki oleh Guok Nguong Peng dengan jumlah pegangan sebanyak 76.2 peratus, Heng Kui Heng (11 peratus) dan Koot Wong Seong @ Guok Nguong Siong (10 peratus), lapor theedgemarkets.com.

Kelulusan penjualan tanah itu dilaporkan telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Kelantan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Md Alwi dipetik sebagai berkata kerajaan Kelantan perlu berhati-hati ketika menerima tawaran daripada pihak swasta yang ingin turut serta dalam memajukan negeri ini.

Beliau berkata ini bagi mengelak kerajaan negeri ditipu pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu mencari keuntungan semata-mata.

BACA JUGA: Dulu Kelantan mahu bina litar lumba tapi kini jadi tempat buang sampah?