Malaysia diyakini catat pertumbuhan lebih cepat

Malaysia diyakini dapat mencatatkan pertumbuhan lebih cepat hasil manfaat daripada langkah mempelbagai kegiatan ekonomi selain bergantung kepada hasil komoditi.

Menteri Ekonomi berkata negara ini juga telah membina ekonomi yang mampan dan berorientasikan kegiatan eksport terutama cip dan semikonduktor.

“Kita juga mengambil manfaat daripada kadar harga minyak kerana kita mempunyai hubungan lama dengan negara Timur Jauh dan kesemua negara pengeluar minyak,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika tampil ahli panel sesi bertajuk Kisah Pertumbuhan Baharu Global: Perkukuhkan Ekonomi Malaysia dalam Forum Ekonomi Qatar di Doha kelmarin.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023), lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

Prestasi pertumbuhan S1 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 hingga 5.0 peratus.

Pertumbuhan S1 2023 juga lebih baik berbanding S1 2022 sebanyak 4.8 peratus. Dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada S1 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada S4 2022.