Malaysia jadi pasaran tukaran tenaga diperbaharui serantau – Rafizi

Kementerian Ekonomi menekankan untuk memberi tumpuan kepada peralihan Tenaga Boleh Baharu (TBB) bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju sektor peralihan tenaga.

Menterinya Rafizi Ramli berkata beberapa perubahan dasar akan dilaksanakan pada bulan-bulan akan datang untuk jadikan Malaysia sebagai pasaran pertukaran TBB serantau.

“Malaysia secara geografi dan strategik mempunyai banyak potensi terhadap TBB kerana ia bersambung dengan tanah besar Asia di utara serta mendapat permintaan dari Singapura.

“Antara langkah utama yang akan dilakukan ialah membina kapasiti TBB dalam negara terlebih dahulu seterusnya memimpin ke arah pertukaran tenaga serantau,” katanya.

Beliau berkata demikikan ketika tampil sebagai panel dalam salah satu sesi diskusi pada Forum Ekonomi Qatar di Doha kelmarin.

Rafizi menjelaskan dalam tempoh 20 tahun, Malaysia akan meningkatkan kapasiti TBB sebanyak 11 kali dan melabur sebanyak AS$150 bilion dalam infrastruktur.

“Tumpuan yang diberi kepada peralihan tenaga akan beri petanda yang baik kepada rantau ini serta pelabur seterusnya meningkatkan skala peralihan negara daripada skala pembuatan nilai sederhana kepada peneraju sektor tenaga bernilai tinggi,” ujarnya.

BACA JUGA: Malaysia diyakini catat pertumbuhan lebih cepat