Malaysia Madani diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan 2023

‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsan dan Hari Malaysia 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, logo Malaysia Madani juga akan menjadi lambang rasmi sambutan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

“Seiring dengan aspirasi MADANI logo Malaysia Madani menjadi logo rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

“Ia bagi mendasari komitmen pemimpin dan rakyat sebagai sebuah bangsa yang mempunyai semangat bersatu padu serta hidup aman sejahtera,” kata beliau selepas merasmikan Pelancaran Logo & Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, hari ini.

Program perasmian yang diadakan di Esplanade, Taman KLCC, Kuala Lumpur itu turut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi miliknya.

Selain itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut turut mengingat orang ramai untuk bersama-sama menzahirkan semangat patriotisme dengan mempromosikan tema dan logo berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk mempromosi dan menular logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk memperluaskannya.

“Justeru marilah kita bersama-sama mengelora sambutan ini agar ia dapat dirasai dengan gilang-gemilang,” ujarnya lagi.